Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang peniaga wanita, Norshamira Zainal, 37, yang ditemui tidak bernyawa di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur baru-baru ini.
Lelaki 53 Tahun Ditahan, Disyaki Terlibat Kes Bunuh Peniaga COD Di Kuantan
Lebih memilukan, mayat mangsa ditemui sendiri oleh suaminya bersama bapa mentua serta beberapa individu lain yang keluar mencarinya selepas dia tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya.
Menyedari sesuatu yang mencurigakan, keluarga mangsa segera membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, suspek berjaya diberkas sekitar jam 5.30 pagi semalam di sebuah rumah di Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu.
“Hasil tangkapan ini, pihak polis turut merampas beberapa barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa, termasuk sebentuk cincin, wang tunai, pakaian serta beberapa dokumen berkaitan kes,” katanya kepada media.
Polis kini sedang mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuantan bagi membantu siasatan lanjut. Berdasarkan perkembangan semasa, pihak berkuasa percaya kes ini hampir menemui penyelesaian.
Sementara itu, polis menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan. Mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline yang disediakan.
Kes ini mengejutkan penduduk setempat memandangkan mangsa dikenali ramai sebagai peniaga makanan yang aktif menjalankan perniagaan secara penghantaran tunai (cash on delivery).
Setakat ini, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada cubaan samun. Dalam masa yang sama, pihak polis turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek dalam kes ini.
Kredit: Utusan Malaysia