Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes cabul seorang kanak-kanak perempuan di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali.
Kejadian yang berlaku awal pagi tadi itu telah mencetuskan kebimbangan ramai selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenainya tular di media sosial.
Polis Tahan Suspek Kes Cabul di Masjid, Dakwaan Miliki Kad OKU Disiasat
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat kesahihan dakwaan orang ramai yang menyatakan suspek memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).
“Setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan perkara tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu sidang media.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita. Ibu mangsa yang turut berada di masjid ketika itu memberitahu bahawa dia membawa dua anaknya untuk menunaikan solat Subuh, namun hanya mangsa bersolat di bahagian belakang.
Dalam keadaan tersebut, suspek dipercayai menyelinap masuk sebelum bertindak mencabul mangsa.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, mengesahkan bahawa laporan mengenai insiden ini diterima sekitar jam 8.19 pagi. Susulan laporan tersebut, pihak polis dengan bantuan orang ramai berjaya menahan suspek di Batang Kali pada tengah hari semalam.
Berdasarkan rakaman CCTV yang tersebar, seorang lelaki berkopiah putih dilihat memasuki ruang solat wanita sebelum mendekati mangsa yang sedang bersujud. Suspek kemudian memeluk mangsa dari arah belakang sebelum melarikannya ke satu sudut lain di dalam masjid.
Beberapa saat kemudian, mangsa dilihat bergelut sebelum suspek melarikan diri selepas kanak-kanak itu cuba melawan.
Setakat ini, suspek telah ditahan dan direman selama tujuh hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kredit: Harian Metro