Seorang pelajar lelaki ditemui maut di bilik asrama selepas dipercayai dibelasah oleh rakan dalam kejadian di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah pada awal pagi semalam.
Ditemui Dalam Keadaan Tidak Sedarkan Diri
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan mangsa yang bernama Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi, waktu kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu iaitu Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima satu laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan. Katanya, mangsa adalah penghuni kolej terbabit dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, sekali gus disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.
“Bertindak di atas laporan yang dibuat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku di bangunan asrama lelaki kolej berkenaan dan mendapati kejadian benar berlaku berikutan penemuan mayat remaja lelaki dalam keadaan terbaring di lantai di dalam sebuah bilik asrama kolej itu,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Terdapat Kesan Kecederaan Dan Lebam Di Badan Mangsa
Tambah Rohan Shah lagi, hasil siasatan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.
“Pihak polis mengenal pasti punca kejadian ialah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” jelasnya.
Beliau berkata, sehingga kini polis telah menahan seramai 13 orang pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun, manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkaitan dengan kes ini.
“Setakat ini, polis juga mengesan tujuh saksi bebas untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikuti Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Rohan Shah turut meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes tersebut dan polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.
Kredit: Harian Metro