Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah menghantar mesej ugutan kepada pelawak kontroversi, Harith Iskander, menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI).

Lelaki Dipenjara Lima Bulan Gara-Gara Ugut Harith Iskander

Tertuduh, Izzuddin Md Salim, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret S Mageswary selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dalam rayuan kepada mahkamah, dia mendakwa tidak berniat untuk benar-benar melakukan ugutan tersebut, sebaliknya hanya mahu mempermainkan perasaan Harith.

“Saya hanya mahu main-mainkan perasaan Harith Iskander, tiada niat lain. Saya juga ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Izzuddin didakwa menghantar mesej menerusi WhatsApp yang mengandungi ugutan jenayah termasuk ancaman rogol dan bunuh terhadap Harith. Mesej itu dibaca oleh bekas isteri Harith, Dr. Jezamine Lim, di sebuah restoran sekitar jam 8.50 pagi pada 23 Januari lalu, sebelum laporan polis dibuat.

Susulan laporan itu, pihak berkuasa menahan tertuduh pada 24 Januari, dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tersebut.

Jika gagal membayar denda yang dikenakan, Izzuddin boleh dikenakan hukuman penjara tambahan selama sebulan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan berhubung ugutan terhadap Harith. Ancaman tersebut dipercayai berpunca daripada hantaran pelawak itu di media sosial yang membincangkan satu topik sensitif, mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengikutnya.

Ekoran insiden itu, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) membatalkan persembahan Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter, selepas Harith serta keluarganya menerima ugutan tersebut.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]