Seorang lelaki berusia 22 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjun ke Sungai Kuantan dari Jambatan Putra dalam kejadian yang berlaku malam Isnin.

Lelaki Ditemui Lemas Selepas Terjun Sungai Kuantan, Difahamkan Tertekan Akibat Putus Cinta

Menurut laporan pihak berkuasa, mangsa dikenali sebagai Ahmad Afzan Shahmi dilaporkan bertindak sedemikian selepas dipercayai mengalami tekanan emosi berikutan perpisahan dengan bekas teman wanita pada Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung sebuah motosikal yang ditinggalkan dalam keadaan enjin masih hidup di atas jambatan berkenaan sekitar jam 11 malam.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah telefon bimbit di lokasi kejadian yang masih berada dalam mod panggilan video dipercayai bersama bekas teman wanitanya sebelum mangsa bertindak terjun ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan penemuan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada jam 11.30 malam melibatkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mayat mangsa akhirnya ditemukan oleh pasukan Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira jam 8.15 pagi Selasa pada jarak lebih satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.

Kredit: X mynewshub

 

 

 

[fbcomments]