Seorang pekerja kilang warga Pakistan bertindak menikam rakan sekerjanya sendiri akibat air oren miliknya telah diminum mangsa ketika berbuka puasa, dalam kejadian di hostel mereka yang terletak di Seksyen 36, Shah Alam pada Selasa.
Tikam Rakan Kerana Minum Air Oren Miliknya Ketika Buka Puasa
Menurut laporan Ketua Polis Daerah Shah Alam iaitu Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian pada jam 7.20 malam. Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek lelaki yang berusia 51 tahun berang apabila mangsa dikatakan telah meminum air oren miliknya ketika berbuka puasa.
“Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah warga Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am. Manakala suspek adalah warga Pakistan tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai hostel kilang.
“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air berperisa orennya semasa berbuka puasa. Suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bunuh Rakan Guna Pisau
Tambah Iqbal lagi, suspek telah ditahan pada jam 7.30 malam di lokasi kejadian dan semakan mendapati mereka adalah rakan sekerja. Dikatakan suspek telah membunuh mangsa dengan menggunakan sebilah pisau, dan ia turut dirampas oleh pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.
Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali terhadap tertuduh.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Asistan Superintenden Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-2255597,” jelasnya.
Kredit: Mstar