Baru-baru ini tular di media sosial mengenai insiden mengejutkan di Baling, Kedah membabitkan kematian seorang lelaki berusia 32 tahun ketika dalam perjalanan bersama ibunya untuk mendapatkan semula telefon bimbit miliknya yang didakwa dirampas dua anggota polis.
Dua Anggota Polis Direman, Lelaki 32 Tahun Maut Ketika Cuba Tebus Telefon Bimbit di Baling
Kes tersebut mencetuskan pelbagai reaksi apabila timbul dakwaan bahawa mangsa diminta membayar wang tebusan sebanyak RM200 sekiranya mahu mendapatkan semula peranti berkenaan.
Menurut maklumat yang dikongsikan, si ibu berusia 74 tahun tampil membuat laporan polis selepas anaknya rebah secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan untuk menyelesaikan urusan tersebut. Difahamkan, lelaki itu mengadu tidak larat sebelum tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Panjang.
Susulan laporan tersebut, polis menahan dua anggota mereka masing-masing berusia 24 dan 27 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemerasan ke atas mangsa. Permohonan reman terhadap kedua-duanya telah dibenarkan selama dua hari untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan. Hasil semakan awal mendapati kedua-dua anggota itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan keputusan ujian urin juga disahkan negatif.
Sementara itu, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa mengesahkan punca kematian adalah serangan jantung mendadak tanpa sebarang kecederaan berunsurkan jenayah. Dalam masa sama, kertas siasatan tatatertib telah dibuka untuk tindakan lanjut terhadap kedua-dua anggota terbabit.
Kredit: Kosmo!