Seorang lelaki dilaporkan maut dalam keadaan rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas masuk ke dalam parit dan terbakar ketika cuba untuk melarikan diri daripada dikejar kereta peronda polis di Parit Kongsi 4, Muar, Johor pada Khamis.

Suspek Pecut Lari Dari Polis Sampai Kereta Terbabas Dalam Parit Dan Rentung

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 4 pagi itu, dua anggota polis mengalami kecederaan parah selepas kereta peronda yang mereka naiki terbabas dan terhumban ke dalam parit yang sama. Kedua-dua anggota tersebut kini sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor.

Ketua Polis Daerah Muar iaitu Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan bahawa, kemalangan tersebut berlaku apabila kereta yang dipandu oleh suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Menurut beliau, sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun dikatakan sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa untuk pemeriksaan rutin.

“Namun begitu, suspek bertindak melarikan diri dengan memecut kereta jenis Toyota Vios menuju ke arah Parit Jamil. Pada masa yang sama, polis turut membunyikan siren amaran supaya suspek memberhentikan kenderaan, namun suspek enggan dan terus memecut laju.

“Semasa usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan, iaitu kereta polis dan kereta suspek, terbabas dan terjunam ke dalam parit yang sama. Selepas kemalangan itu, kereta suspek terbakar menyebabkan suspek rentung. Dua anggota polis pula mengalami kecederaan parah dan segera dikejarkan ke HPSF untuk menerima rawatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Raiz Mukhliz turut memaklumkan bahawa mayat suspek telah dibawa ke hospital yang sama untuk menjalani proses bedah siasat serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identitinya.

Beliau menambah bahawa siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini atau mempunyai sebarang maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]