Baru-baru ini, seorang lelaki memutuskan untuk memeluk agama Islam selepas terselamat daripada kejadian pokok tumbang yang hampir meragut nyawanya.
Peristiwa tersebut disahkan oleh Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung, yang menceritakan bahawa lelaki tersebut melafazkan dua kalimah syahadah di pejabat MRM, sambil menzahirkan rasa syukur yang mendalam atas perlindungan yang dirasakannya sebagai satu bentuk hidayah.
Dapat Hidayah Nak Peluk Islam Ketika Diri Terselamat Dari Dihempap Pokok
Menurut kisahnya, lelaki berkenaan mengalami kemalangan ngeri apabila pokok besar tumbang menimpa kenderaan yang dinaikinya. Insiden tersebut meragut nyawa seorang penumpang, namun dia terselamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, meskipun mengalami hentakan di kepala, keadaannya tidak seteruk yang dijangkakan, malah anggota penyelamat yang tiba di lokasi turut terkejut melihat keadaannya yang masih bernafas dan sedar.
“Sebenarnya saya sudah percaya pada Allah waktu abang saya shahadah dulu tapi saya sepenuhnya percaya. Tapi selepas dua kali accident ni, kalau abang tengok gambar kereta saya waktu tu teruk dihempap pokok besar bang.
“Penumpang belakang saya mati tapi saya alhamdulillah hidup. Apabila pasukan penyelamat nampak saya masih bernafas, mereka pun tidak percaya saya terselamat,”katanya.
Dia juga menegaskan bahawa hatinya semakin kuat untuk memeluk Islam selepas insiden tersebut.
“Pelik bang, memang pelik. Saya yakin, ini Allah yang selamatkan saya. Saya bersyukur sangat kepada Allah, beri peluang untuk saya hidup lagi.
“Sebab itu saya tak nak tangguh lama-lama, saya beritahu abang saya yang saya hendak datang sini (MRM) untuk memeluk Islam sepenuhnya,” tambahnya lagi.
Terdahulu, seorang lelaki beragama Hindu turut mengambil keputusan memeluk Islam selepas mengalami insiden hampir terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu, yang dipercayai menjadi hidayah untuknya memeluk agama Islam.
Kredit: Facebook Firdaus Wong Hai Hung