fbpx

Seorang pemandu teksi berusia 51 tahun ditemui maut dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang badan dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir, pada malam tadi. Mangsa dijumpai di tempat duduk belakang teksi dalam keadaan dirinya yang penuh lumuran darah.

Dibunuh Dan Diletakkan Di Tempat Duduk Belakang Teksi

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din memaklumkan bahawa pihak mereka menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam pukul 10.56 malam untuk melaporkan terdapat sebuah teksi berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit. Baliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian sebelum pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki dalam kenderaan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan pakaiannya berlumuran darah di tempat duduk pemandu manakala seorang lagi lelaki yang cedera parah dan tidak bergerak berada di tempat duduk belakang. Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa yang berada di tempat duduk belakang sudah meninggal dunia”, jelasnya.

Teksi Dipandu Dalam Keadaan Terhuyung Hayang

Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh Aliff Zuaimi II di laman Facebook, beliau mendedahkan secara ringkas di mana seorang saksi yang menaiki motor melihat sebuah teksi dipandu dalam keadaan terhuyung hayang. Difahamkan, teksi itu dikatakan telah memasuki laluan sehala berhampiran klinik berhampiran sehingga melanggar sebuah kereta secara bertentangan. Selepas saksi berjaya menahan teksi tersebut, ia didapati bahawa pemandu dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat sebilah pisau di atas pelapik tempat kaki bahagian pemandu.

“Seorang saksi bertanya kenapa melawan arus? Suspek berkata baru selepas bunuh orang, orang yang dibunuh ada di tempat duduk belakang, terdapat banyak kesan seperti ditoreh di bahagian kepala”, jelasnya.

Polis Akan Dapatkan Permohonan Reman

Menurut Abdul Rahim, siasatan awal mendapati mangsa adalah pemandu teksi berkenaan manakala suspek yang berusia 29 tahun tersebut adalah penumpang. Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Suspek juga dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan permohonan reman dan kes bakal disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan.

Kredit: Harian Metro, Facebook Aliff Zuaimi II

[fbcomments]