Tindakan seorang penunggang motosikal yang merempuh anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad lalu telah memakan diri sendiri apabila beliau didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Didenda RM5,000

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Berita Harian, Majistret Uthman Abd Ghani telah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nor Khairul Azwa Azizi, 25, selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa. Difahamkan, tertuduh dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam anggota JPJ iaitu Mohd Nurhakim mohd Razif, 29, ketika beliau sedang menjalankan fungsi amnya.

Mengikut pertuduhan yang dikenakan, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan, beliau bakal berhadapan dengan hukuman penjara selama tiga bulan.

Mohon Hukuman Diringankan Untuk Tanggung Anak Dan Isteri Yang Sedang Hamil

Tambahan lagi, tertuduh turut memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang minimum atas sebab isterinya sedang sarat mengandung dan beliau juga telah diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.
Walaubagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh agar pengajaran dapat diberikan kepada semua orang supaya tidak menghalang tugas penjawat awam.

Terdahulu, seorang anggota JPJ telah dirempuh oleh sebuah motosikal yang cuba melarikan diri semasa sekatan jalan raya dilaksanakan. Akibat dirempuh, anggota tersebut mengalami kecederaan pada otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]