Seorang lelaki berusia 38 tahun yang dikenali sebagai Putra, terkejut apabila mendapati anak ketiganya bukan zuriat kandungnya setelah keputusan ujian paterniti asid deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan.
Terkejut Anak Ketiga Bukan Anak Kandung
Kisah bermula apabila hubungan sulit antara isterinya, Shaz (bukan nama sebenar), dengan birasnya, Khal (bukan nama sebenar), terbongkar pada tahun lalu.
Putra mengambil keputusan untuk menjalani ujian DNA ke atas anak perempuannya, Putri, di sebuah klinik swasta di Ampang, Selangor, pada 26 Disember 2023 untuk mengesahkan status kanak-kanak tersebut.
Menurut Putra, dia mendapatkan nasihat daripada peguam sebelum memutuskan untuk melakukan ujian DNA tersebut.
“Saya amat terkejut dan terus hubungi ahli keluarga bagi memaklumkan tentang perkara berkenaan.
“Sehari selepas itu, kami sekeluarga pergi ke rumah bekas mentua di Pulau Pinang untuk mendapatkan penjelasan daripada bekas isteri sambil membawa laporan DNA.
“Namun Shaz dan keluarganya malah menganggap saya menipu dan berulang kali menegaskan bahawa Putri anak kandung kami,” ceritanya.
Sudah Lebih 5 Tahun Jalin Hubungan
Putra merasa tekad untuk menghebahkan kepada media mengenai insiden itu pada awal tahun ini setelah menerima reaksi tidak menyenangkan dari bekas keluarga mentuanya yang masih menyokong isterinya.
Namun, pada keesokan harinya, bekas bapa mentua menghubunginya dengan hasrat untuk berjumpa dan membincangkan perkara tersebut di kediaman Putra di Perak.
“Bekas adik ipar saya, Khal turut hadir dalam perjumpaan tersebut dan menegaskan bahawa Putri bukan anaknya. Khal malah memberitahu bahawa dia juga akan membuat ujian DNA untuk mendapatkan pengesahan.
“Dia buat ujian tersebut pada 11 Januari di klinik sama dan keputusan yang keluar pada 23 Januari menunjukkan Khal sememangnya bapa kandung kepada Putri, dengan padanan sebanyak 99.99 peratus,” katanya.
Putra tidak pernah menyangka bahawa bekas isteri dan bekas adik iparnya telah menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuannya selama lebih dari setahun.
Hubungan mereka terbongkar apabila Putra menemui rekod panggilan antara kedua-duanya melalui telefon pintar Shaz pada tahun 2019.
Putra juga menyedari bahawa pesanan makanan melalui aplikasi penghantaran sejak tahun 2020 hingga 2021 semuanya dihantar ke rumah adik iparnya serta beberapa hotel di Pulau Pinang.
Berdasarkan bukti perbualan dalam aplikasi Signal, rakaman suara, dan alamat penghantaran makanan, jelas menunjukkan bahawa hubungan sulit antara mereka sudah lama terjalin.
“Ketika itu kami memutuskan untuk tinggal berasingan (tidak bercerai) selama enam bulan.
“Namun selepas itu bekas isteri merayu untuk kembali. Setelah memikirkan masa depan anak-anak dan nasihat daripada ibu bapa, kami berdua kembali bersama sehinggalah dia mengandung anak yang ketiga,” kongsinya lagi.
Walaupun Anak Ketiga Bukan Anak Kandung, Namun Tetap Sayang Seperti Anak Sendiri
Putra turut mendedahkan bahawa dia dan bekas isterinya sebelum ini menjalani kehidupan rumah tangga jarak jauh (PJJ). Bekas isterinya memberikan alasan mahu menumpukan perhatian pada pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) secara dalam talian.
“Saya menetap di Perak untuk menguruskan bisnes, manakala bekas isteri dan anak-anak tinggal bersama bekas keluarga mentua di Pulau Pinang sementara waktu,” katanya.
Putra tidak pernah menyangka akan mengalami kekecewaan dua kali, lebih-lebih lagi apabila mengetahui bahawa anak ketiganya bukan anak kandungnya. Putra mengakui dia sangat menyayangi Putri, termasuk dua anak lelakinya yang berusia 12 dan 9 tahun.
Putra mendakwa bahawa bekas isterinya masih menyebarkan cerita tidak benar kepada keluarga, dengan mendakwa Putri adalah anak kandung mereka dan menuduh Putra mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.
Namun begitu, keputusan ujian DNA dan semua bukti yang dikumpul oleh Putra dan adiknya dengan jelas menunjukkan siapa yang benar dan siapa yang bersalah dalam hal ini.
Kredit: Majoriti Official