Baru-baru ini ada tersebar satu video dimana anggota polis telah menahan orang awam.
Difahamkan, lelaki di dalam video ini ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk pegawai polis ketika diminta mengemukakan permit perjalanan rentas negeri di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 1, Jalan Endau-Rompin, dekat Mersing.
Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, lelaki berumur 29 tahun dan berasal dari Pahang itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 332 dan 186 Kanun Keseksaan.
“Pegawai polis bertugas menahan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dinaiki dua lelaki.
“Semasa pegawai polis meminta kad pengenalan dan permit perjalanan, pembonceng motosikal itu tiba-tiba naik angin lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk pegawai polis berkenaan.”
Beliau berkata, berlaku pergelutan semasa pegawai polis hendak menahan pembonceng itu dan menyebabkan pegawai polis lelaki terbabit mengalami luka kecil di bahagian atas mata kanan.
Katanya, pembonceng itu yang juga seorang nelayan sedang dalam perjalanan dari Mersing ke Pahang. Rakannya yang menunggang motosikal itu pula tidak terbabit terlibat dalam kes itu.