Penempatan haram warga asing di Nilai Spring yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan pada minggu lalu dipercayai mempunyai pelbagai kemudahan termasuklah kedai runcit dan sekolah.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, perkampungan itu dibina di kawasan permukaan yang tidak rata dan berpaya selain dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.
“Hasil risikan dijalankan selama sebulan, penempatan ini menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik,” katanya dalam laporan Harian Metro.
Perkampungan yang berkeluasan 29,000 meter persegi atau kira-kira dua padang bola itu dikelilingi hutan tebal dengan jalan masuk tanah merah.

Ujarnya, pintu masuk penempatan itu dipasang beberapa tayar kereta yang berpaku selain terdapat beberapa anjing yang dibela berkeliaran di kawasan terbabit dipercayai digunakan sebagai pengawal di penempatan berkenaan.
Dalam operasi itu, seramai 68 orang warganegara Indonesia telah diperiksa dan hasilnya seramai 67 orang berusia di antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan.

Semua tahanan terbabit ketika ini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut atas kesalahan yang dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sumber: Sinar Harian


