fbpx

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa mereka akan membuka kertas siasatan berhubung isu logo kasut keluaran sebuah syarikat tempatan yang didakwa memiliki kalimah Allah di tapak kasut berkenaan.

PDRM Buka Kertas Siasatan

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 35 tahun di Pulau Pinang pada Ahad semalam.

“Pengadu mendakwa pada 4.32 pagi melihat hantaran di laman sosial Facebook berkaitan satu bentuk penghinaan ke atas kalimah Allah. Tertera lambang menyerupai kalimah Allah di tapak kasut jenama syarikat tempatan. Hantaran itu dikongsi lebih 8,000 orang,” katanya.

Bertindak atas maklumat, Razarudin memaklumkan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan termasuk mengesan saksi berkaitan bagi membantu siasatan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta sebuah syarikat kasut memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam berhubung logo tapak kasut mereka yang didakwa mirip kalimah Allah.

Dr Muhamad Akmal memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat mengenai perkara itu pada pagi semalam apabila gambar kasut tersebut tular di media sosial.

Susulan kes itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memanggil pihak berkaitan logo kasut itu pada masa yang terdekat.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]