Seorang anggota bomba berusia 28 tahun mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori di Jalan Medan Saujana 3, Kamunting, pada 20 Januari lalu.
Kejadian itu menjadi tumpuan selepas rakaman video papan pemuka (dashcam) insiden berkenaan tular di Facebook sejak Selasa.
![]()
Muatan Warung Burger Jatuh Dari Lori, Anggota Bomba Cedera Ringan
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Abdul Malek Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika sebuah lori jenis rigid (vehicle carrier) buatan Hino dipandu lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan dari Taiping menghala ke Kamunting.
Lori tersebut dilaporkan sedang menunda sebuah warung burger sebelum dipercayai hilang kawalan, menyebabkan warung itu terjatuh ke atas jalan raya. Warung burger berkenaan kemudian melanggar sebuah motosikal yang ditunggang anggota bomba terbabit serta sebuah kereta Proton Saga FL dipandu wanita berusia 34 tahun.
![]()
Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan di bahagian dahi dan leher selain luka pada tangan dan kaki.
Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat mengikut Rule 92, LN 170/59.
Kredit: FB Polis Daerah Taiping