Pihak polis kini giat mengesan seorang pemandu lori sampah warga Indonesia yang melarikan diri selepas lori dipandunya terbabas dan merempuh tembok konkrit di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) baru-baru ini.
Polis Buru Pemandu Lori Sampah Warga Indonesia Larikan Diri Selepas Rempuh Plaza Tol LDP
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang itu, pemandu berkenaan dipercayai meninggalkan lokasi sejurus selepas insiden, manakala kelindan lori warga Bangladesh dilaporkan cedera di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, mengesahkan pihaknya sedang menjejaki suspek berusia lingkungan 30-an itu bagi membantu siasatan. Berdasarkan siasatan awal, lori sampah jenis Isuzu berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari arah Putrajaya menuju ke Bukit Puchong sebelum terbabas dan merempuh tembok plaza tol.
Rakaman video yang tular di media sosial turut memaparkan detik lori berkenaan bergerak dari lorong kiri ke kanan sebelum menghentam struktur konkrit tersebut.
Pihak polis kini sedang mengenal pasti punca sebenar kejadian dan meminta saksi tampil membantu siasatan.
Kredit: Harian Metro