“Pergilah adik, bermainlah dengan abang di syurga,” itulah antara kata-kata sayu daripada seorang ibu kepada anaknya yang meninggal dunia akibat termakan keropok beracun.
Tragedi ini berlaku selepas seorang lagi anaknya meninggal dunia pada petang semalam.
Mangsa Kedua Makan Keropok Beracun Meninggal Dunia
Memetik laporan dari Berita Harian, bisikan penuh kesedihan itu datang dari Nurain Hasnorizal, 25 tahun, ketika anak bongsunya iaitu Muhammad Luth Syauqi, yang berusia dua tahun, sedang nazak di Hospital Pulau Pinang (HPP) sekitar jam 1.24 tengah hari semalam.
Difahamkan, pemergian Muhammad Luth menyusul abangnya, Muhammad Akil Syauqi, 3, yang meninggal dunia dua hari sebelumnya di hospital yang sama.
Menurut Nurain, dia telah bersedia menghadapi segala kemungkinan sejak semalam setelah diberitahu oleh doktor bahawa tiada perkembangan positif dari Muhammad Luth. Ahli keluarga diberi peluang untuk melawat Muhammad Luth sejak kelmarin untuk melihatnya buat kali terakhir.
“Sama seperti saat bersama arwah Akil, saya juga diberi kesempatan untuk berada di sisi Luth. Berulang kali saya menyapu air mata yang mengalir di pipinya, mengenangkan kenangan mereka bermain bersama di rumah.
“Mereka suka bergurau senda… dan saya membayangkan Akil sedang memimpin tangan Luth menuju syurga,” katanya dengan nada penuh kesedihan.
Nurain menerima ujian ini dengan reda dan berharap kejadian ini menjadi pengajaran buat orang lain.
Jenazah Muhammad Luth dijangka akan dikebumikan bersebelahan pusara abangnya di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah, sejurus selepas urusan bedah siasat selesai.
Sebelum ini, dua beradik ini berada dalam keadaan kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim pada Ahad lalu.
Makanan ringan itu didakwa digantung pada pagar dawai oleh pemilik kebun untuk menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman. Lokasi kejadian ini terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
Kredit: Berita Harian