“Luluh hati ini melihat dua anak menangis di sisi ibu mereka yang sudah tidak bernyawa, berat hati saya menerima takdir isteri kesayangan sudah pergi buat selamanya.” Othman Awang, 41.
Itulah kata-kata Othman, suami kepada Miss Nurul Mohd Deraman, 32, yang maut dalam kemalangan di Kampung Batu 9, Jalan Jedok di Tanah Merah awal pagi tadi.
Menunggang motosikal bersama 2 orang anak
Mangsa yang menunggang motosikal bersama dua anaknya berusia 5 dan 14 tahun dipercayai membuat pusingan U sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah yang sama.
Othman berkata, ketika kejadian dia berada di kedai borong miliknya sebelum bergegas ke lokasi kemalangan selepas dihubungi seorang rakan.
Melihat sekujur tubuh sudah kaku ditutup kain
“Sebaik sampai saya hanya mampu mengucap panjang melihat sekujur tubuh isteri yang sudah kaku ditutup kain oleh orang ramai.
“Lebih menyedihkan apabila dua anak saya terutama yang berusia lima tahun masih terkejut sambil menangis teresak-esak di samping ibunya.
“Kali terakhir berjumpa dengan isteri pada awal pagi tadi ketika selesai solat Subuh kerana saya terus ke kedai untuk bekerja.”
Menurutnya, dia reda dengan apa yang terjadi tetapi pasti merindui keramahan dan kebaikan isteri selama mereka hidup bersama.