Hati ibu mana yang tidak luluh dan terkejut bila mendapati anak mereka yang baru berusia 7 tahun sudah memiliki gambar lukisan yang tidak senonoh di dalam beg sekolah.
Oleh kerana panik dan tak tahu nak buat apa, si ibu ada bertanya dan minta pendapat pada saudara Syed Azmi
Ini saranan saya
Menurut kenyataan yang dibuat oleh Syed Azmi, lukisan tersebut diberi oleh rakan sekelas anak mereka.
Langkah pertama yang perlu dilakukan ibu bapa sebaik sahaja mendapat tahu mengenai perkara tersebut ialah berbincang dengan anak terlebih dahulu. Ibu bapa perlu bertanya kepada anak-anak mengenai aktiviti mereka dekat sekolah.
Di samping itu, ibu bapa perlu meminta penjelasan daripada anak-anak dan berlakon seolah mereka tidak tahu mengenai maksud disebalik lukisan tersebut. Paling penting, jangan biarkan anak-anak rasa takut untuk bercerita. Ibu bapa boleh mengumpul semua maklumat sewaktu anak-anak sedang bercerita dan secara tidak langsung jawapan terhadap semua tanda tanya akan diketahui.
Jumpa cikgu kelas
Selepas mengetahui penjelasan daripada anak-anak, ibu bapa boleh berjumpa dengan guru kelas untuk berbincang. Syed Azmi turut memberi saranan agar ibu bapa tidak menyebarkan perkara tersebut menerusi Whatsapp.
Sewaktu berbincang, ibu bapa jangan memberi tekanan kepada anak-anak sendiri termasuk kanak-kanak yang dipercayai bersalah. Ini kerana, mereka berkemungkinan melihat adegan yang tidak sepatutnya ketika berada di rumah. Ibu bapa boleh menggunakan guru dan pihak sekolah sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.
Membimbing anak-anak
Sementara menunggu tindakan pihak sekolah, ibu bapa perlu mendidik dan membimbing anak-anak mengenai maksud gambar yang dilukis. Di samping itu, ibu bapa perlu memberi penjelasan mengapa gambar tersebut dianggap tidak elok dan tidak sesuai untuk umur kanak-kanak.
Sewaktu memberikan penjelasan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak berasa selamat dan mereka berhak bertanya apa sahaja yang mereka mahukan. Antara topik yang boleh dibincangkan bersama-sama anak-anak ialah batas diantara lelaki dan perempuan dan contoh malu.
Kalau cikgu dan sekolah tak ambil tindakan
Sekiranya pihak sekolah dan guru tidak mengambil tindakan, ibu bapa boleh berjumpa dengan ibu bapa pelajar tersebut. Meskipun, perasaan akan berasa kurang enak, ibu bapa perlu bertindak sedemikian demi memastikan perkara tersebut tidak akan berulang kembali.
Jelas beliau lagi, ibu bapa perlu bimbing semula anak-anak. Jangan marah atau rotan anak-anak. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak menjadikan mereka sebagai sumber rujukan.