Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, menzahirkan rasa kecewa selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan penangguhan hukuman penjara terhadap isterinya, Ismanira Abdul Manaf, dalam prosiding yang berlangsung hari ini.
![]()
Permohonan Ditolak, Bapa Zayn Rayyan Luah Kekecewaan Terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi
Selepas keputusan dibuat, Zaim Ikhwan dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah bersama ahli keluarganya, termasuk ibu dan bapanya serta bapa mentuanya, Zahari Mohd Reba. Ketika ditemui media, beliau hanya memberikan reaksi ringkas dengan menyebut, “Mahkamah terbaik,” sebelum beredar tanpa mengulas lanjut.
Pada masa sama, datuk kepada Zayn Rayyan turut memilih untuk tidak memberikan sebarang komen berhubung keputusan tersebut. Pendekatan sama turut diambil oleh pihak peguam, apabila peguam yang mewakili Ismanira, Haresh Mahadevan, memaklumkan bahawa tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan oleh pihaknya.
Dalam prosiding berkenaan, usaha Ismanira untuk dibebaskan sementara tidak berjaya apabila Hakim Datuk Aslam Zainuddin menolak permohonan penangguhan hukuman dengan menyatakan tiada keadaan khas atau luar biasa yang boleh dijadikan asas untuk membenarkan permohonan tersebut.
![]()
Untuk rekod, Ismanira telah menjalani hukuman penjara selama 53 hari termasuk hari ini, selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu. Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh, sebelum ini memerintahkan Ismanira dihantar ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Kredit: Harian Metro