fbpx

Seorang kenak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan maut selepas dirempuh sebuah van sekolah yang dipandu oleh seorang wanita berusia 50 tahun dipercayai berlaku di hadapan kediaman mangsa di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada Khamis.

Mangsa Cedera Parah Selepas Dilanggar Dan Disahkan Maut Ketika Menerima Rawatan

Berdasarkan laporan Astro Awani, difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.35 pagi ketika pemandu van berkenaan menurunkan mangsa yang bernama Nurhafizah Nuljin dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael berusia enam tahun yang juga murid pra sekolah di hadapan rumahnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam iaitu Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, beliau memaklumkan bahawa pemandu van berkenaan meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi kenderaan itu dan beranggapan kanak-kanak perempuan terbabit turut mengekori abangnya.

Malang tidak berbau, pemandu van tersebut dengan tidak sengaja telah merempuh kanak-kanak perempuan itu yang lalu di hadapan van.

“Pemandu kemudian turun untuk melihat mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Masai untuk rawatan. Akibat kejadian, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” jelasnya.

Pemandu van tersebut kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan polis.

Abang Mangsa Alami Trauma

Akibat daripada kejadian itu, abang mangsa yang bernama Muhamaad Afieq, 6, dikatakan mengalami trauma dan menangis setiap kali melihat gambar arwah adiknya.

“Kejadian mengakibatkan Muhammad Afieq Miqhael trauma kerana dia melihat keadaan Nurhafizah hingga membuatkannya menangis setiap kali melihat gambar adiknya mahupun ketika kami bercerita kejadian yang meragut nyawa arwah,” kata Karmin, ibu kepada dua beradik tersebut.

Dalam pada itu, Karmin yang juga merupakan suri rumah meluahkan bahawa dia masih tidak dapat melupakan kejadian yang menimpa anak bongsunya daripada tujuh beradiknya itu. Difahamkan, arwah mula menaiki van berkenaan sejak awal tahun ini, manakala abangnya pula sejak tahun lalu dan mereka berdua bersekolah di Seri Alam 2.

Sementara itu, pemandu van sekolah yang ditahan semalam bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, wanita berusia 50 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: Astro Awani

[fbcomments]