Pemain bola sepak kebangsaan Faisal Halim dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah menjalani beberapa siri pembedahan, sekaligus telah mampu berjalan dan menjamah makanan.
Faisal Halim Sudah Dapat Berjalan
Memetik laporan Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan bahawa pemain berusia 26 tahun itu juga mahu pulang ke rumah selepas beberapa hari menerima rawatan.
Shahril turut berkata Faisal yang mesra dipanggil Mickey kini kelihatan lebih ceria dan sudah menjadi ‘dirinya kembali’ kerana dia tidak boleh duduk diam dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Dia ‘steady’ dan kata saya nak balik. Itulah semangat dia yang lain sikit sebab dia pun dah mula jalan dalam bilik sebab dia memang seorang yang aktif dan pemain bola sepak.
“Dia pun dah boleh pergi bilik air dengan sendiri dan bagi saya, ini sememangnya satu perkembangan yang positif untuk hari ini.
“Cuma apabila dia dah mula nak berjalan dan betul-betul bersemangat, itu sangat membanggakan. Mickey sentiasa jadi Mickey cuma pergerakannya agak terbatas dengan balutan di badannya,” katanya.
Tempoh Pemulihan Faisal Sangat Cepat
Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa terkejut kerana Faisal menunjukkan proses pemulihan yang cepat walaupun umum mengetahui rawatan ini memang memakan masa yang lama.
“Faisal ini istimewa dengan tempoh pemulihannya agak cepat. Kita berdoa semoga dai dapat pulih lebih cepat walaupun kita tahu perkara ini sebenarnya memang makan masa sedikit.
“Dia akan berapa kira-kira tujuh hari dalam ICU dan kalau sesuai dan mendapat kebenaran doktor, kita akan pindahkannya ke Unit Dependensi dalam seminggu dua lagi.
“Harapan saya adalah dia dapat pulang masa Hari Raya Haji nanti,” ujarya.
Kredit: Harian Metro