Pelawak Mamat Sepah baru-baru ini tampil memberikan penjelasan mengenai insiden yang melibatkan dirinya bersama dua lagi anggota kumpulan Sepah, iaitu Jep dan Shuib yang dibincangkan dalam podcast Dol’s, dikendalikan oleh Shuib bersama Shuk Sahar dan Fizie.
Tak Mahu Panjangkan Cerita
Menurut laporan Harian Metro, Mamat mengimbau kembali setiap peristiwa yang berlaku kira-kira 16 tahun lalu, yang menjadi topik utama dalam podcast tersebut. Mamat menyatakan bahawa ingatannya masih segar tentang segala kejadian yang pernah terjadi pada masa itu.
“Apa yang saya ceritakan dalam podcast itu berlaku kira-kira 16 tahun yang lalu. Alhamdulillah Tuhan beri saya daya ingatan yang kuat.
“Mungkin ada orang yang sudah lupa mengenai kejadian itu membuatkan ia dianggap sudah ditokok tambah. Lagipun mana boleh padam sejarah yang pernah terjadi,” ujar Mamat.
Walau bagaimanapun, Mamat memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai isu pergaduhan antara mereka, kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih tegang. Menurutnya, hubungan mereka bertiga kini dalam keadaan baik, dan insiden lalu hanyalah sesuatu yang tidak disengajakan.
“Saya enggan mengeruhkan lagi keadaan ini. Kami bertiga sudah dianggap seperti adik-beradik. Tiada apa yang kami nak terasa. Apa yang berlaku sebelum ini semua tidak sengaja.
“Tiada apa yang membuatkan kami tidak selesa. Insya-Allah semua baik-baik saja. Bagi saya perkara ini tiada apa kerana saya pernah menghadapi ujian yang lebih besar,” tambah Mamat lagi.
Mamat juga menyatakan bahawa zaman media sosial yang serba canggih ini memudahkan sesuatu isu menjadi tular, namun dia menegaskan bahawa hubungannya dengan Jep dan Shuib masih kukuh.
Sebelum ini, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nazri, dilaporkan memberikan kenyataan yang dipercayai berkaitan dengan temu bual dalam podcast Dol’s, di mana dia menyatakan bahawa kebanyakan cerita yang dibincangkan dalam podcast tersebut adalah rekaan dan ditokok tambah.
Dalam podcast itu, Mamat mengenang semula saat-saat ketika kumpulan Sepah ingin menghadiri uji bakat untuk sebuah program lawak, yang mana mereka berjaya lulus. Namun, Shuib menarik diri kerana berlaku pertengkaran besar dengan Jep.
Shuib turut mendedahkan bahawa dia dan Jep hampir bertumbuk di sebuah kedai mamak kerana rasa tidak puas hati antara satu sama lain, dan Mamat pula bertindak sebagai orang tengah untuk mendamaikan mereka.
Kredit: Harian Metro