Baru-baru ini tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu yang memasak mi segera dengan menggunakan gas mudah alih di sebuah stesen minyak telah mendatangan kegusaran terhadap orang ramai. Hal ini kerana ianya boleh membawa padah dan boleh menyebabkan kebakaran.
Terbaharu, seramai 15 orang individu yang berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun telah ditahan polis susulan insiden terbabit.
15 Individu Ditahan Untuk Bantu Siasatan
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Pahang iaitu Datuk Yahaya Othman memaklumkan bahawa tangkapan tersebut membabitkan 10 lelaki dan lima wanita selepas kesemua mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas merakam keterangan mereka.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan empat saksi ketika kejadian juga sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan. Kita juga akan merujuk kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” katanya.
4 Individu Didenda Sebanyak RM500
Difahamkan empat individu ternasuk seorang pembantu pergigian dan ejen hartanah didapati mengaku bersalah di Mahkamah Bentong hari ini atas pertuduhan mendatangkan bahaya kepada orang lain.
Majistret Nadhratun Naeiem Zainan mengarahkan kesemua tertuduh membayar denda RM500 dan kesemua mereka dituduh bersama-sama mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh iaitu Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran Ji, 24; Nurfatin Irdina Shahrulnizam, 24; Nur Anis Salleh, 24; dan Nur Azira Azman, 23, pada 12 Mei lebih kurang jam 1.30 pagi didakwa memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak di Taman Cendawan, Genting Highlands, yang merupakan satu perbuatan sebegitu gopoh hingga membahayakan keselamatan diri orang lain.
Pendakwaan dijalankan Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Kredit: Harian Metro