Seorang guru wanita dilaporkan cedera selepas dia dipukul oleh rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di daerah Kemaman pada Ahad semalam.
Guru Lelaki Pukul Guru Wanita
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kemaman iaitu Superintendan Hanyan Ramlan, beliau memaklumkan bahawa kejadian dipercayai berlaku pada jam 6.55 pagi di kawasan kantin di sekolah berkenaan.
Menurutnya, guru lelaki berusia 49 tahun dikatakan menumbuk mata kiri dan menyepak mangsa yang merupakan guru wanita berusia 32 tahun itu.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa yang juga seorang guru bahasa Inggeris lebam di mata kiri.
“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Setakat ini, punca dan motif pergaduhan di antara suspek dan mangsa masih dalam siasatan.
Kredit: Harian Metro