Seorang pesara berusia 69 tahun dilaporkan cedera selepas dipercayai dipukul dan diugut oleh seorang lelaki susulan satu kemalangan kecil berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex Batu 9, Cheras pada Ahad.

Pesara 69 Tahun Cedera, Suspek Direman Dua Hari

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa pada jam 4.49 petang.

Menurut beliau, pertelingkahan tercetus selepas kemalangan melibatkan kenderaan mangsa dan suspek, sebelum keadaan menjadi tegang sehingga mangsa mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mangsa mengalami lebam di bahagian mata serta kecederaan pada lidah akibat kejadian itu. Bertindak atas laporan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang bekerja sebagai peniaga di sekitar kawasan Kajang pada jam 11.30 malam hari sama.

“Suspek telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sarjan Ganesan Ramachandran di talian 012-608 9180 bagi membantu siasatan.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]