Suasana pilu menyelubungi insiden tragis di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, apabila seorang suami sempat membimbing isteri dan ibunya mengucap dua kalimah syahadah sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir susulan terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa pada hari Sabtu lalu.
Kereta Terbabas Gara-Gara Elak Kera
Mohd Fadzil Othman, 27, menceritakan detik cemas sejurus selepas kemalangan berlaku, di mana dia segera keluar dari kenderaan untuk mencari isteri, anak bongsu, dan ibunya yang tercampak keluar dari kereta akibat hentakan kuat. Ketiga-tiganya dipercayai tercampak sejauh beberapa meter akibat kemalangan yang dipercayai berlaku selepas Mohd Fadzil cuba mengelak seekor kera yang melintas secara tiba-tiba di tengah jalan.
Menceritakan kembali saat-saat sebelum kejadian, Mohd Fadzil berkata mereka sekeluarga baru sahaja selesai berkelah di Sungai Sedim, sempena cuti umum Hari Kebangsaan, dan sedang dalam perjalanan pulang. Ketika mereka hampir tiba di lokasi kejadian, seekor kera tiba-tiba meluru melintas jalan. Dalam usaha untuk mengelak daripada melanggar haiwan tersebut, kenderaan mereka hilang kawalan, berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke dalam longkang.
“Kemudian saya bergegas keluar mencari isteri (Siti Norhasliza Kamarudin, 26) yang tercampak hampir lima meter dari kereta dan menemuinya dalam keadaan amat teruk. Saya sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan saya.
“Kemudian, saya pergi dapatkan emak (Omi Kalsom Man, 69) yang ketika itu dalam keadaan sangat nazak sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,”ceritanya.
Dalam pada itu, Mohd Fadzil turut percaya bahawa isterinya telah berusaha sedaya upaya melindungi anak perempuan mereka, Lufiya Mikayla, yang berusia 2 tahun, dengan memeluknya erat. Namun begitu, kemungkinan besar, isterinya telah menerima kesan hentakan yang teruk akibat kemalangan tersebut, yang menyebabkan dia terkorban.
Mohd Fadzil mengalami kecederaan pada tangan dan kaki, manakala anak sulung mereka, Luth Mikhael, 3 tahun, terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Jenazah Siti Norhasliza telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Padang Temusu pada jam 10 pagi, sementara jenazah Omi Kalsom dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Haji Ngah pada jam 11 pagi, Ahad lalu.
Kredit: Sinar Harian, Astro Awani