Seorang pelajar dilaporkan maut sementara ibu dan adiknya cedera parah dalam nahas yang melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 11, Jalan Benut/Simpang Renggam, Johor pada Sabtu.

Mangsa Meninggal Dunia Di Lokasi Kejadian

Memetik laporan Majoriti Official, mangsa maut yang bernama Muhammad Hayqal Mohd Asdi Jastani, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Manakala ibunya, , Jalilah Jalil, 47, dan adiknya Muhammad Naim, 12, cedera parah di tangan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian iaitu Superintendan Mohammad Shofee Tayib, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam kira-kira 8.40 pagi. Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Simpang Renggam menghala ke Benut telah hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Situasi itu menyebabkan lori tersebut bertembung dengan kereta yang datang dari arah Benut menghala ke Simpang Renggam hingga mengakibatkan seorang penumpang belakang kereta berkenaan cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Pemandu Lori Tidak Mengalami Kecederaan

Akibat daripada pertembungan dua kenderaan itu, pemandu kereta dan penumpang hadapan lori mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan tangan, sementara pemandu lori dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Pontian bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]