Seorang anggota polis cedera parah selepas ditembak dan ditikam ketika cuba menahan seorang lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan di kawasan Simpang Pulai, awal pagi Ahad.

Anggota Polis Cedera Ditembak, Mayat Wanita Ditemui Dalam Kereta Suspek

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.15 pagi ketika sepasukan anggota Balai Polis Simpang Pulai menjalankan rondaan cegah jenayah di Taman Desa Pakatan. Pasukan itu mengesan sebuah kereta mencurigakan, namun pemandunya enggan berhenti sebelum memecut dan meninggalkan kenderaan di ladang kelapa sawit.

“Ketika tangkapan cuba dilakukan, berlaku pergelutan sehingga suspek berjaya merampas pistol anggota polis berusia 26 tahun itu. Suspek kemudian melepaskan tembakan mengenai perut mangsa selain menikamnya sebelum melarikan diri bersama senjata api berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dilaporkan stabil. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan ditinggalkan suspek membawa kepada penemuan mengejutkan apabila mayat seorang wanita ditemui di bahagian tempat duduk belakang.

Susulan itu, polis menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita, termasuk ahli keluarga suspek utama, bagi membantu siasatan. “Kami masih menyiasat peranan mereka dalam kes ini,” kata Noor Hisam ketika dihubungi.

Beliau mengesahkan mangsa wanita berusia 62 tahun itu meninggal dunia akibat sesak nafas berdasarkan laporan bedah siasat. Identiti mangsa juga sudah dikenal pasti, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan suspek bukan kenderaan curi.

“Kami sedang menyiasat hubungan antara suspek dengan mangsa wanita berkenaan. Suspek yang menembak anggota polis masih bebas, dan usaha memburunya dipertingkatkan,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan.

Kredit: Sinar Harian, Harian Metro

 

[fbcomments]