MCPF berpendapat bahawa hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atas enam tertuduh dalam kes Zulfarhan Osman adalah tepat dan setimpal, berbeza dengan pandangan SUHAKAM.

MCPF Tak Setuju Dengan SUHAKAM, Hukuman Gantung Sampai Mati Setimpal Buat Tertuduh

Mengikut laporan Bernama, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) tidak bersetuju dengan bantahan yang dibuat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengenai hukuman gantung sampai mati yang dikenakan ke atas bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob, menyatakan bahawa hakim berhak menjatuhkan hukuman tersebut walaupun hukuman mati mandatori telah dihapuskan bagi kes-kes pembunuhan dan pengedaran dadah.

“Sebahagian negeri di Amerika Syarikat masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah pembunuhan. Malaysia tidak perlu mengikut budaya, perundangan, dan amalan barat yang bertentangan dengan norma kehidupan manusia,” ujarnya.

Ayub menambah bahawa hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan kepada enam bekas pelajar UPNM kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu adalah wajar dan setimpal.

“Perbuatan menyeksa hingga menyebabkan kematian seseorang adalah bertentangan dengan norma kehidupan manusia, lebih-lebih lagi dilakukan oleh golongan terpelajar. Tindakan membunuh manusia oleh pihak yang tidak berhati perut adalah perbuatan yang diharamkan dalam Islam,” katanya.

Sebelumnya, SUHAKAM dalam kenyataan mereka membantah hukuman gantung sampai mati tersebut dan berpendapat bahawa hukuman seperti itu bukanlah penyelesaian yang adil mahupun berkesan.

Keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas pelajar UPNM adalah susulan daripada penderaan dan penyeksaan terhadap allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain sehingga menyebabkan kematiannya pada tahun 2017.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, dalam keputusan sebulat suara menyatakan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila meminda pertuduhan asal daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat).

Kredit: BERNAMA

[fbcomments]