KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) selaku pemaju projek Melaka Gateaway telah memfailkan saman ke atas kerajaan negeri Melaka bagi mencabar notis penamatan yang dikeluarkan ke atas syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif KAJD, Datuk Michelle Ong berkata, notis berkenaan membabitkan penambakan tanah yang diperlukan bagi membangunkan projek mega syarikat itu.

Kerajaan negeri telah melanggar Akta 829

Difahamkan saman berkenaan menyatakan bahawa kerajaan negeri telah melanggar Akta (Pendekatan Sementara) Covid-19 2020 (Akta 829) yang antara lain menghalang penamatan mana-mana projek pembinaan yang terpaksa ditangguhkan sementara bagi mencegah penularan virus tersebut.

Akta berkenaan jelas menyatakan bahawa sebarang penamatan berkaitan pembinaan tidak boleh dibuat sehingga selepas 31 Disember ini, atau mana-mana tarikh lain selepasnya, yang diluluskan akta, mengikut Parlimen Malaysia.

Ini berikutan dari tindakan kerajaan negeri yang mengeluarkan Notis Tamat kepada konsesi penambakan tanah pada 16 Oktober lalu.

Kerajaan negeri tidak menghiraukan permohonan

Menurut Datuk Michelle Ong lagi, pihak KAJD telah menghantar beberapa permohonan bertulis kepada kerajaan negeri bagi melanjutkan tempoh konsesi penambakan, tetapi pihak kerajaan negeri tidak menghiraukan dengan tidak memberi apa-apa jawapan.

Malah sebaliknya KAJD pula menerima Notis Penamatan yang mendakwa syarikatnya gagal menyiapkan projek terbabit mengikut jadual ditetapkan.

Konsesi penambakan tanah ini adalah untuk tiga tahun, bermula 4 Oktober 2017 dan kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan sejak 18 Mac, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

Akan menyambung semula selepas larangan Covid 19 ditarik

Jelas beliau lagi, pihak KAJD hanya boleh menyambung kerja penambakan tanah apabila semua larangan berkaitan Covid-19 ditarik semula sepenuhnya oleh kerajaan.

Dengan tindakan undang-undang yang dikenakan ini, kami harap dapat diberikan semula tempoh masa yang secukupnya bagi KAJD menyempurnakan projek ini seperti yang termaktub di dalam perjanjian asal pada 3 tahun yang lalu.

Untuk maklumat, terdapat tiga pulau yang akan diwujudkan sebaik sahaja proses penambakan semula tanah itu selesai, yang akan membentuk pelabuhan mega Melaka Gateaway. Di situ juga akan ditempatkan terminal kapal persiaran terbesar Malaysia serta hab utama minyak dan gas serta akan dilengkapi dengan zon ekonomi eksklusif dan kemudahan pelancong.

[fbcomments]