Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang bernama Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi yang melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik di bilik janakuasa TNB pada Khamis lalu kini sedang menjalani pembedahan menampal kulit.

Jalani Pembedahan Ganti Kulit

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Harian Metro, ibu mangsa iaitu Suhana Samsudin, 37, memaklumkan pembedahan anaknya itu telah berlangsung sejak jam 12 tengah hari (semalam) di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Pada masa ini dia masih berada dalam bilik pembedahan sejak jam 12 tengah hari tadi dan tidak pasti berapa lama (tempoh). Pembedahan berkenaan dijalankan bagi menampal kulit namun saya tidak difahamkan dengan lanjut oleh doktor. Saya masih menunggunya sehingga pembedahan selesai dan hanya berdoa supaya semuanya selamat kerana rindu serta sudah tidak sabar mahu peluk erat Mohd Dawisy Zarif,” katanya ketika dihubungi media.

Ditidurkan Sepanjang Rawatan Dan Bergantung Kepada Alat Bantuan Pernafasan

Dawisy yang terkena renjatan elektrik telah dikejarkan ke HPP dan kemudiannya dia ditidurkan sepanjang rawatan sejak hari kejadian selepas mengalami 50 peratus melecur dan kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Menurut Suhana lagi, sejak tragedi yang menimpa anaknya itu, fikirannya sangat runsing dan asyik terkenangkan anaknya itu. Malah abang kembar kepada Dawisy juga lebih banyak berdiam diri selain mengadu teringat kepada adik kembarnya.

“Sejak kejadian itu, memang fikiran saya agak terganggu dan saya harap semua dapat memahaminya. Sebagai seorang ibu, memang ‘hancur hati’ saya bagi menghadapi semua ini, jadi diharap semua pihak dapat beri kami ruang untuk menempuh detik sukar. Saya tidak mahu apa-apa dan belum pertimbang sebarang tindakan, cuma mahu Mohd Dawisy Zarif pulih dan sihat dahulu,” luahnya lagi.

Sementara it Suhana turut berharap agar orang ramai berhenti menularkan video kejadian kerana ia amat mengganggu emosi keluarga.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]