Seorang jemaah haji lelaki berusia 90 tahun akhirnya menghembuskan nafas syukur selepas berjaya menjejakkan kaki ke tanah suci, hasil daripada menabung sejak usianya 15 tahun lagi.
Kumpul Duit Nak Buat Haji Sejak Zaman Remaja Lagi
Memetik laporan Bernama, difahamkan Zakaria Hamat merupakan jemaah tertua yang melakukan haji dan tidak menyangka diberi peluang menjadi ‘duyufurrahman’ (tetamu Allah) pada usia 90 tahun.
Zakaria yang ditemani cucu sulungnya Mohd Syafiq Mohd Sekari, 37, berkata, kepayahan hidup dengan pendapatan tidak seberapa dan hanya bergantung kepada upah membanting padi menyebabkan beliau mengambil masa yang lama menabung sehingga simpanannya cukup untuk menunaikan haji.
“Zaman dulu pergi merata-rata cari duit, sampai ke Kedah, sampai lima enam kali pergi ke sana untuk memukul (membanting) padi, tapi upah tak banyak, kadangkala dapat juga beras zakat sehingga lima enam guni dan hasilnya bolehlah buat simpan sikit-sikit,” katanya.
Amalan Baca Surah At-Taubah Ayat 128-129
Difahamkan Zakaria atau lebih mesra dipanggil sebagai Poksu Ya memberanikan diri untuk mendaftar haji pada tahun 2003 meskipun hasil simpanannya tidak seberapa.
Ditanya petuanya kekal sihat, beliau yang mempunyai isteri Ramlah Deris, 85, (tidak ikut haji) dan dua anak (namun telah meninggal dunia) serta 11 orang cucu itu berkongsi amalan membaca surah At-Taubah ayat 128-129 serta selawat tafrijiyah setiap kali selepas solat Maghrib dan Isyak.
Sementara itu, Mohd Syafiq memaklumkan bahawa datuknya atau dipanggil Chik, mendaftar haji pada 2003 menggunakan nombor telefon miliknya memandangkan beliau merupakan waris terdekat.
“TH ada menghubungi saya tiga tahun lepas memaklumkan tentang tawaran kepada Chik untuk mengerjakan ibadah haji, …namun saya tolak sebab kekangan dari segi kewangan keluarga, jadi saya tidak sedia.
“Pada 2023, sekali lagi Allah takdirkan Chik saya dapat tawaran haji dan kali itu saya terpaksa tolak juga disebabkan beberapa masalah. Akhirnya tahun ini apabila Allah sekali lagi menjemput Chik, saya sebagai cucu sulung kena usaha walau macam mana sekalipun untuk memastikannya dapat menunaikan haji,” ujarnya.
Hasil pertolongan dan usaha daripada ahli keluarga yang lain, akhirnya beliau berjaya mencukupkan wang bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah haji bersama-sama.
Kredit: Bernama