Niat tulus seorang guru pencen tidak kesampaian apabila mangsa yang dikenali sebagai Nasaruddin Darus, 56, dikatakan rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri ketika menyertai program perkhemahan Sekolah Kebangsaan Jeneri, Kedah pada Khamis semalam.
Rebah Secara Tiba-Tiba Ketika Berehat Di Atas Kerusi
Menurut laporan Majoriti Official, mangsa difahamkan mahu menghulurkan bantuan dalam menguruskan program perkhemahan di sekolah berkenaan, namun beliau disahkan meninggal dunia selepas mengadu keletihan ketika sedang berehat di atas kerusi.
Pasukan paramedik Bomba dan Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) memaklumkan bahawa pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 11.19 pagi dan pasukan penyelamat itu juga menjalankan beberapa prosedur pemeriksaan seperti CPR, tekanan jantung, pergerakan nadi, bacaan oksigen, ujian tekanan darah serta pemeriksaan mata.
Mangsa Meninggal Dunia Di Tempat Kejadian
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh @Mahadzir Abdul Hamid di laman Facebook, kematian mangsa telah disahkan oleh pihak KKM ketika itu. Pemilik akaun tersebut juga sempat memberitahu bahawa cikgu Nasaruddin merupakan seorang guru yang aktif dalam pasukan unit beruniform dan sering terlibat dalam pelbagai siri latihan, perkhemahan dan pengajaran dalam aspek pertolongan kecemasan.
Mayat mangsa juga sudah dibawa ke unit forensik hospital Sik, Kedah untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.04 tengah hari. Pihak sekolah SK Jeneri turut meluahkan harapan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pemergian guru pesara tersebut.
Kredit: Majoriti Official, Facebook Mahadzir Abdul Hamid