Baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang wanita yang didakwa menyamar sebagai pramugari Batik Air, sebelum misteri itu terjawab apabila individu berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
![]()
Penyamaran Pramugari Dalam Pesawat Terbongkar, Wanita 23 Tahun Disiasat
Wanita berusia 23 tahun, dikenali sebagai Nisya dari Palembang, Indonesia, mencetuskan perhatian ramai selepas dilihat berada di dalam sebuah pesawat dan berlagak seolah-olah sebahagian daripada kru kabin bagi penerbangan dari Palembang ke Jakarta. Tindakannya menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan penerbangan, selain dianggap mencalar imej profesion pramugari yang memerlukan latihan dan pematuhan prosedur ketat.
Kisah penyamaran itu mula mendapat perhatian selepas satu hantaran dimuat naik di platform X oleh akaun @ndymanoballl pada Rabu. Berdasarkan perkongsian tersebut, Nisya dipercayai hadir ke lapangan terbang dengan persiapan rapi, termasuk mengenakan pakaian batik menyerupai seragam pramugari, membawa bagasi khas, serta menggantung kad identiti yang meniru rekaan kru kabin.
Difahamkan, wanita berkenaan membeli tiket penerbangan biasa, menyebabkan sebahagian petugas menyangka dia mungkin kru tambahan. Namun, penyamarannya mula terbongkar apabila seorang pramugari bertugas mengajukan soalan berkaitan tugasan dan latar belakangnya, sebelum mendapati jawapan yang diberikan tidak konsisten.
![]()
Kecurigaan bertambah apabila kru lain meminta kad pengenalan rasmi untuk pengesahan. Pemeriksaan mendapati kad tersebut tidak menepati format sebenar dan menyerupai rekaan lama yang tidak lagi digunakan sejak kira-kira 15 tahun lalu. Maklumat itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak keselamatan penerbangan.
Setibanya pesawat di Jakarta, anggota Aviation Security (Avsec) menunggu di pintu ketibaan sebelum membawa wanita berkenaan untuk pemeriksaan lanjut. Pihak keselamatan difahamkan mengambil keterangan bagi menilai sejauh mana tindakan penyamaran itu boleh menjejaskan prosedur operasi dan keselamatan penumpang.
Susulan kejadian tersebut, Nisya tampil dalam sebuah video penjelasan berdurasi beberapa minit tanpa mengenakan pakaian menyerupai uniform. Dalam rakaman itu, beliau mengakui bukan pramugari dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada kru mana-mana syarikat penerbangan.
![]()
“Saya mengakui perbuatan ini adalah kesilapan sendiri dan tidak melibatkan mana-mana individu lain. Saya memohon maaf kepada Batik Air, Lion Group serta semua pihak yang terkesan,” katanya. Nisya turut menyatakan video tersebut dibuat atas kesedaran sendiri tanpa paksaan, selain menzahirkan rasa kesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
Insiden berkenaan mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ramai berpandangan bahawa penyamaran dalam sektor kritikal seperti penerbangan bukan sekadar gurauan, sebaliknya berpotensi mengundang risiko keselamatan. Setakat ini, belum ada pengesahan lanjut mengenai tindakan susulan pihak berkuasa atau syarikat penerbangan, namun kejadian itu dilihat menguatkan keperluan pengawasan lebih ketat di kawasan operasi terhad.
Kredit: X ndymanoballl, Majoriti Official