Satu kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan, Jeram, baru-baru ini mencetuskan perhatian ramai apabila ia melibatkan seorang pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.

Insiden ini mengorbankan seorang penunggang motosikal, yang difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertugas.

Microsleep Punca Pegawai Kanan Polis Rempuh Penunggang Motosikal

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa pegawai berkenaan disyaki mengalami microsleep ketika memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya, yang menyebabkan rempuhan terhadap mangsa.

“Saya sahkan lelaki itu pegawai kanan yang bertugas di Bukit Aman. Kalau ikut video nampak macam dia terlelap (microsleep)..bagaimanapun kita tunggu siasatan pihak trafik.

“Ada beberapa video tular saya boleh beri jaminan polis akan siasat dengan telus dan adil sekiranya dia didapati bersalah, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” ujar beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurut beliau lagi, siasatan kes ini akan dilakukan dengan telus dan adil tanpa mengira status atau kedudukan pihak yang terlibat. Hasil siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang berusia 35 tahun, seorang kakitangan klinik kesihatan, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kemalangan ini berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kuala Selangor.

Sementara itu, pegawai polis yang terlibat kini menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialaminya. Ujian saringan air kencing telah dijalankan dan mendapati pegawai tersebut negatif daripada pengaruh dadah.

“Polis juga sedang mengumpul bukti tambahan, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, bagi melengkapkan siasatan,” tambah Datuk Hussein.

Kredit: Buletin TV3

 

[fbcomments]