Hasrat seorang remaja untuk memulakan sesi persekolahan pada hari pertama bertukar tragedi apabila dia maut dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengisi minyak motosikal.

Remaja 15 Tahun Terkorban, Pesanan Terakhir Buat Adik Jadi Kenangan Terakhir

Mangsa, Noor Hazimi Noor Hashim, 15, pelajar tingkatan tiga, sebelum itu sempat berpesan kepada adiknya agar menunggu di rumah kerana dia ingin singgah ke stesen minyak terlebih dahulu. Pesanan ringkas itu menjadi kata-kata terakhir yang diingati oleh adiknya, Norhasmiea, 14, sebelum menerima khabar duka mengenai kemalangan yang meragut nyawa abangnya di Jalan Kepong, Kuala Terengganu.

“Miea tak payah ikut, tunggu sahaja kat rumah, nanti abang chik balik ambil dan pergi ke sekolah. Abang chik nak pergi isi minyak motosikal dan akan segera balik,” katanya.

Menurut Norhasmiea, ketika kejadian, abangnya dalam perjalanan pulang selepas mengisi minyak di kawasan Kampung Pengadang Baru, sebelum sepatutnya mengambilnya untuk ke sekolah bagi hari pertama sesi persekolahan. Katanya, arwah bukan sahaja berperanan sebagai abang, malah menjadi tempat dia berkongsi cerita dan masalah, khususnya berkaitan pelajaran.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak tahun 2024, mereka mempunyai rutin harian ke sekolah bersama-sama. Kebiasaannya, arwah akan mengisi minyak motosikal pada waktu petang, namun pada pagi kejadian, arwah memintanya untuk menunggu di rumah sementara dia ke stesen minyak, sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.

“Memang rutin kami pergi dan balik sekolah bersama sejak 2024. Biasanya abang chik akan mengisi minyak motosikal pada sebelah petang setiap hari, tetapi tiba-tiba pagi ini dia minta saya tunggu di rumah kerana ingin ke stesen minyak,” ujarnya lagi.

Norhasmiea menyifatkan arwah sebagai seorang yang penyayang, pemurah dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikannya. Arwah juga sering memberikan wang saku untuk membeli makanan di kantin sekolah, sekali gus meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan buat dirinya.

Difahamkan, selepas pemergian Noor Hazimi, abang sulung mereka, Noor Hazriq, 18, akan memikul tanggungjawab menjaga Norhasmiea. Jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu selamat dikebumikan pada kira-kira jam 5.30 petang, dengan kehadiran lebih 150 ahli keluarga, rakan serta warga sekolah bagi memberikan penghormatan terakhir.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]