Beberapa aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dilaporkan berdepan kekasaran fizikal serta layanan tidak berperikemanusiaan daripada pihak berkuasa asing selepas kapal mereka dipintas dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Aktivis Malaysia Alami Kekasaran Fizikal Ketika Misi Kemanusiaan Ke Gaza

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab (ADALAH) memaklumkan bahawa tindakan agresif termasuk menendang, menampar dan mencengkam peserta misi dilakukan ketika mereka ditahan. Beliau menjelaskan, situasi yang dialami kumpulan itu hampir sama dengan pengalaman yang pernah dilalui pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum ini.

Menurutnya, sehingga jam 3 petang waktu Malaysia, peguam ADALAH telah bertemu dengan 100 daripada 145 aktivis yang ditahan, dan sembilan aktivis Malaysia disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Namun, MyCARE akan tetap mengatur pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebaik mereka dibebaskan bagi memastikan keadaan semua sukarelawan benar-benar stabil.

“Setakat ini, tujuh aktivis Malaysia telah menandatangani surat deportasi sementara dua lagi masih menunggu keputusan status mereka. Proses tribunal dijangka selesai menjelang tengah malam waktu Malaysia,” katanya pada satu sidang media di Serdang, pada Khamis.

Beliau menegaskan, kesemua aktivis yang terlibat terdiri daripada doktor perubatan dan wakil media antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan, bukan senjata atau bahan terlarang.

“Mereka membawa ubat-ubatan, harapan dan kasih sayang untuk rakyat Gaza. Oleh itu, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan mereka serta memohon agar segala urusan dipermudahkan,” katanya lagi.

Misi FFC x TMTG yang disertai kira-kira 150 aktivis dari 25 negara menaiki sembilan kapal, termasuk Conscience dan Umm Saad, telah dipintas semalam ketika berada kurang 120 batu nautika dari destinasi asal mereka di perairan Gaza.

Antara lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil. Seorang lagi peserta, Dr Maziah Muhammad, ditempatkan di atas kapal Umm Saad.

Kredit: BERNAMA

 

 

 

 

 

[fbcomments]