Bekas pemain hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi yang sebelum ini tular kerana dipercayai mengalami gangguan mental kini ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan susulan.

Bekas Pemain Hoki Remaja Kebangsaan Ditempatkan di HTAA Untuk Rawatan

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad memaklumkan bahawa selepas beberapa hari usaha mengesan keberadaannya, pihak polis berjaya menemukan Asmawi di kawasan Taman Kerang semalam.

“Jabatan terus memantau perkembangan Asmawi yang akan menerima rawatan, diharapkan ada sinar buat dia selepas menerima rawatan yang disediakan HTAA,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan berusaha mendapatkan maklumat daripada HTAA berkaitan ahli keluarga lelaki terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Menurut Khairul Amri, Asmawi dilahirkan di Kemaman, Terengganu dan pernah mewakili skuad hoki remaja kebangsaan bawah 16 tahun sebagai penjaga gol.

Katanya lagi, kisah mengenai lelaki itu menjadi perhatian selepas videonya tular di media sosial, memaparkan dia berada dalam keadaan tidak terurus di sekitar bandar ini, terutamanya di kawasan Taman Kerang.

“Menjadi tanggungjawab JKM membantu lelaki terbabit bagi mendapat rawatan yang diperlukan, mungkin ada peluang untuk dia sembuh seterusnya meneruskan kehidupan normal,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung tetap Taman Kerang yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman berkata, kelibat Asmawi sering dilihat di sekitar kawasan itu sejak Ramadan lalu.

“Dia selalu berada di sini setiap hari, tetapi tidak pernah mengganggu pengunjung atau peniaga. Dia hanya merayau tanpa berbaju dan berkaki ayam sambil meracau seorang diri.

“Dia aktif pada waktu malam sambil membuka tong sampah untuk mencari sisa makanan. Dia (Asmawi) marah dengan berkata sesuatu apabila ada individu cuba memberinya makanan.

“Saya sedih melihat keadaan dia yang tidak terurus, diharapkan ada pihak tampil membantunya mendapatkan rawatan yang sesuai,” ceritanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di TikTok yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental, merayau dalam keadaan tidak terurus. Lelaki itu dikenal pasti sebagai Mohamad Asmawi, bekas penjaga gol hoki remaja kebangsaan yang pernah menyertai kejohanan di Jerman, India dan Pakistan.

Difahamkan, Asmawi meninggalkan kerjaya sebagai pemain hoki dan pulang ke kampung halaman ketika berusia sekitar 25 tahun.

Kredit: Harian Metro

 

 

[fbcomments]