Polis mengesahkan motif dendam dipercayai menjadi punca utama dalam kes pembunuhan kejam membabitkan seorang wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah Juru pada 18 Oktober lalu.
![]()
Motif Dendam Jadi Punca Pembunuhan Dua Beranak di Juru
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Aizee Ismail, berkata hasil siasatan selepas penahanan suspek utama iaitu seorang lelaki warga Nepal berusia 35 tahun, membawa kepada penemuan motif berkenaan. Suspek ditahan di Selangor pada 24 Oktober selepas dipercayai melarikan diri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Tempoh reman suspek utama akan berakhir pada Jumaat dan polis akan memohon sambungan reman bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan dua lagi warga Nepal, termasuk abang kepada suspek utama, akan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik perintah reman mereka tamat hari ini.
![]()
Dalam kejadian pada 18 Oktober, mangsa Sariya Che Hin, 51, ditemukan maut di bahagian dapur rumah sewanya, manakala anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan tidak bernyawa di tingkat atas kediaman sama.
Susulan kejadian tragis itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun serta tiga lelaki warga Nepal bagi membantu siasatan sebelum berjaya mengesan suspek utama di negeri lain.
Kredit: BERNAMA