Sepasang pasangan suami isteri disahkan maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi mereka terbabas di Kampung Bukit Tok Ali, Jalan Persekutuan Jeli-Dabong baru-baru ini.
Terbabas Ke Dalam Semak Sebelum Merempuh Sebatang Pokok
Menurut Ketua Polis Daerah Jeli iaitu Superintendan Saari Yaacob, beliau memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku pada 9.15 pagi itu, motosikal berkuasa tinggi jenis BMW ditunggang mangsa dari arah Jeli ke Dabong dikatakan telah memasuki laluan bertentangan lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.
“Akibat kemalangan itu, penunggang, Saharudin Mohd Yusoff, 50, dan Azilawati Jusoh, 50, cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Balah. “Jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk bedah siasat,” jelasnya.
Abang Mangsa Tak Sangka Mereka Pulang Beraya Dengan Motosikal Dan Telah Meragut Nyawanya
Sementara itu, abang kepada mangsa perempuan iaitu Mokhtar, 63, berkata sebelum ini adik serta suaminya pulang ke kampung dengan menaiki kenderaan. Namun beliau tidak menyangka keputusan pulang beraya kali ini dengan menaiki motosikal telah meragut nyawa mereka.
Tambah Mokhtar, beliau menerima panggilan telefon daripada pihak polis pada jam kira-kira 9.30 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian. Namun malang tidak berbabu, akibat kesesakan jalan raya dia hanya sempat melihat wajah pasangan tersebut buat kali terakhir di Unit Forensik Hospital Jeli.
“Pada awalnya, saya dimaklumkan hanya Saharudin yang meninggal dunia dan ketika dalam perjalanan ke hospital, saya sekali lagi menerima panggilan telefon memaklumkan Azilawati juga sudah tiada.
“Saya diberitahu arwah Azilawati sempat memberikan kata laluan telefon bimbitnya kepada orang awam yang membantu mereka sebelum dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berhampiran. Sebaik selesai urusan bedah siasat, pasangan ini dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi, Chetok, Pasir Mas, jam 4 pagi tadi.
“Mereka bergerak pulang awal sehari sebelum hari raya dengan motosikal dari Sepang, Selangor ke Chetok, Pasir Mas kerana mahu mengelak kesesakan lalu lintas. Malah, dari awal mereka tidak memaklumkan kepada keluarga akan pulang bermotosikal kerana tidak mahu kami semua bimbang.
“Malam kelmarin, mereka berdua makan malam di rumah kami dan arwah Saharudin dilihat sangat berselera, namun tidak sangka rupanya itu petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya,” ujarya.
Kredit: Berita Harian