Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemukan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada pagi Ahad semalam.
![]()
Pelajar Kolej Maut Motosikal Terbabas Jatuh Dari Flyover DASH
Dalam kejadian sekitar jam 10.40 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di susur 1/B 0.5 sebelum melanggar penghadang jalan. Hentaman kuat mengakibatkan remaja tersebut tercampak dari ketinggian kira-kira 21 meter dan jatuh ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.
![]()
Difahamkan, lokasi berkenaan pernah meragut nyawa sebelum ini. Pada 26 Julai lalu, seorang lelaki berusia 23 tahun turut maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu terjatuh dari ketinggian sama.
Sehubungan itu, pihak polis memohon orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851.
Kredit: Berita Harian