fbpx

Seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang dinaiki bersama bapanya terlanggar lubang terbuka yang merupakan saluran kabel bawah tanah di Jalan Persiaran Rimbun Indah, awal pagi semalam.

Budak 9 Tahun Cedera Parah

Difahamkan, insiden tersebut berlaku sekitar jam 6.45 pagi ketika bapa mangsa dalam perjalanan menghantarnya ke sekolah. Keadaan yang masih gelap menyukarkan penunggang motosikal untuk melihat lubang tersebut.

Ketua Polis Daerah Seremban iaitu Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din memaklumkan bahawa lubang yang sebelum ini tertutup rapi itu turut menyebabkan tiga lagi kereta mengalami kerosakan apabila terjatuh ke dalamnya.

“Kemalangan ini melibatkan empat kenderaan iaitu tiga buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Persiaran Rimbun Indah. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 44 tahun bersama anak perempuannya yang berusia sembilan tahun sedang bergerak dari arah Persiaran Rimbun Indah menuju ke Seremban.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal tersebut secara tiba-tiba terlanggar lubang yang berada di hadapannya,” kata beliau.

Akibat perlanggaran itu, kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan raya. Sementara itu, ketiga-tiga pemandu kereta yang datang dari arah yang sama turut melanggar lubang tersebut, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Kanak-kanak perempuan tersebut mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan. Bapanya pula mengalami luka di bahagian tangan.

Sehubungan itu, pihak polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sankar, di talian 014-6000353 atau melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes ini sedang disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59, dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Kredit: Buletin TV3

 

[fbcomments]