Seorang murid lelaki berusia 10 tahun didakwa mengalami kecederaan serius termasuk gegaran otak selepas dipercayai dibuli oleh pelajar lain di sebuah sekolah rendah di Skudai, Johor.
Mangsa, Izzul Islam Azuan Isaidi, yang juga pesakit kanser hidung, dilaporkan menerima rawatan di hospital swasta dari 12 hingga 26 Mac lalu selepas mengalami sakit kepala berpanjangan dan tubuh menjadi lemah.
![]()
Murid Tahun Empat Alami Gegaran Otak, Dipaksa Bogel Akibat Dibuli
Ibunya, Siti Suhana Misdi, 39, berkata pemeriksaan doktor mengesahkan anaknya mengalami gegaran otak selain berisiko mendapat sawan sekiranya terjatuh atau pengsan.
“Anak lelaki saya bukan sahaja dipukul dan ditendang, tetapi turut dihentak di bahagian kepala bahagian selain dipaksa berbogel. Akibat kejadian itu, dia kerap mengadu sakit kepala dan badannya lemah. Apabila pemeriksaan hospital dibuat, doktor mengesahkan dia mengalami gegaran di bahagian otak.
“Dia dirawat di sebuah hospital swasta di bandar raya ini sejak 12 Mac hingga 26 Mac lalu,” katanya ketika ditemui.
Beliau menambah, laporan polis telah dibuat pada 26 Mac lalu, namun dimaklumkan siasatan tidak dapat diteruskan kerana pelaku masih kanak-kanak.
![]()
Lebih mengecewakan, katanya, anaknya masih menjadi sasaran buli hingga kini. Dalam kejadian terbaharu pada 7 Ogos lalu, mangsa sekali lagi dipukul di kepala oleh murid lain sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.
“Saya tidak pasti mengapa anak menjadi mangsa, adakah kerana dia dilihat seorang yang lemah kerana berpenyakit hingga diperlakukan demikian.
“Dia diserang kanser hidung sejak dua tahun lalu, tetapi keadaannya sudah pulih 80 peratus dan hanya mengalami simptom sederhana selepas menerima rawatan sesuai,” uajrnya.
![]()
Siti Suhana berharap pihak berkuasa dan pihak berkaitan mengambil tindakan tegas agar insiden sebegini tidak berulang serta melibatkan murid lain.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, mengesahkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
“Murid terlibat bersama keluarga mereka telah ditemui dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya ringkas.
Kredit: Kosmo!