Jasad salah seorang mangsa pesawat terhempas di Elmina dimaklumkan berada dalam keadaan sempurna dan ia memudahkan proses pengecaman oleh waris.
Hanya Kemeja Sahaja Hangus, Yang Lain Masih Lekap Di Badan
Berdasarkan laporan yang dilihat dari Kosmo! Online, jenazah Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali,41, yang berada dalam pesawat terhempas terbabit tidak terjejas dan hanya kemeja yang dipakai olehnya sahaja hangus, manakala singlet dan seluar masih melekap pada badan.
Ahmad Fariz Ahmad Rusli, 57, iaitu abang ipar kepada mangsa memaklumkan jenazah Idris telah disahkan oleh adiknya sendiri yang melihat dari susuk tubuh dan pakaian yang masih melekat di badannnya.
“Adik saya memaklumkan semalam (kelmarin) dia melihat keadaan jenazah masih lagi sempurna dengan hanya patah bahagian kaki dan kecederaan di punggung. Baju singlet yang dipakai mangsa masih melekap pada badan, hanya kemeja yang terbakar, malah kemeja masih ada pada bahagian tangan, begitu juga seluar yang dipakai arwah”, jelasnya kepada media.
Seorang Penghafaz Al-Quran
Difahamkan, arwah yang mesra disapa sebagai Ustaz Idris merupakan seorang penghafaz al-Quran. Berdasarkan laporan dari Harian Metro pula, Ahmad Fariz luah rasa syukur kerana jenazah berada dalam keadaan sempurna dan beliau sendiri memegangnya sebelum urusan pengebumian dilakukan.
“Kita dapat dia sempurna, dari hujung rambut sampai ke kaki, lengkap (badannya). Rambut dia juga tidak terbakar, saya sendiri pegang. Dia golongan yang terpelihara oleh Allah SWT”, katanya.
Sekadar info, Allahyarham yang bertugas sebagai penguatkuasa di Pejabat Agama Islam Daerah Raub, Pahang telah bercuti tanpa gaji selama setahun kerana mengikuti Datuk Seri Johari Harun sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas.
Kredit: Kosmo! Online, Harian Metro