Pasangan kembar yang bernama Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor dan Nur Qistina Auni Mohd Azinor dilihat tidak dapat menahan sedih dan sebak apabila mereka diberitahu bahawa ibu tercinta mereka terkorban ketika bertugas pada Selasa semalam.

Dapat Tahu Berita Semasa Berada Di Sekolah. Tak Percaya Ibu Sudah Tiada

Berdasarkan laporan Majoriti Official, Jurugambar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Pegawai Kecil Noor Rahiza Anuar adalah antara 10 anak kapal yang maut apabila dua helikopter terhempas di udara di Lumut.

Menurut Nur Qistina Auni, 16, dia menerima khabar duka tersebut melalui seorang rakannya yang memanggil keluar dari kelas dan meminta agar dia dapat kuatkan diri sebelum dibawa ke bilik guru.

“Di sana, saya melihat adik kembar saya menangis sambil seorang guru memegang tangannya. Saya tidak percaya ibu sudah tiada. Saya baru jumpanya pagi tadi (Selasa),” kata Qistina Awliyah sambil mendukung adiknya berusia enam tahun ketika ditemui.

Pasangan kembar tersebut difahamkan merupakan pelajar sekolah di SMK Pengkalan TLDM dan telah menetap di kuarters di Lumut sejak 2017. Mereka juga mempunyai seorang lagi adik lelaki yang berusia 15 tahun.

Ibu Beri Tanda Mahu Ambil Gambar Keluarga Semasa Raya

Sementara itu, Nur Qistina Awliyah turut mendedahkan bahawa semasa sambutan hari raya tempoh hari, ibunya begitu teruja dapat mengambil gambar bersama-sama seisi keluarga.

“Semasa Hari Raya, ibu saya paling teruja mengambil gambar kerana dia berkata peluang seperti itu mungkin tidak akan datang lagi. Dia suka membeli produk kecantikan, dan kami akan menyimpan pakaian hari rayanya sebagai kenang-kenangan. Dan ibu biasanya keluar pada waktu pagi dan pulang ke rumah pada lewat malam,” ujarnya sambil menambah bahawa mereka kini hanya mempunyai bapa di sisi.

Untuk rekod, dua helikopter iaitu jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) bertembung di Pangkalan TLDM Lumut pada pagi Selasa.

Pertembungan itu menyebabkan sebuah helikopter terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, manakala sebuah lagi pesawat jenis HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]