fbpx

Seorang pemandu kenderaan jenis pacuan empat roda dilaporkan maut, manakala enam individu cedera ringan dalam nahas kemalangan yang melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 452.8 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan(PLUS) pada Jumaat malam.

7 Kenderaan Terlibat Dalam Kemalangan

Memetik laporan Sinar Harian, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor iaitu Ahmad Mukhlis Mokhtar memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.37 malam.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan. Kemalangan melibatkan lima kereta, satu pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres di lokasi Lebuhraya Plus menghala ke arah selatan berhampiran Hospital Sungai Buloh itu.

“Jumlah keseluruhan mangsa terlibat termasuk penumpang bas ekspres berkenaan adalah seramai 38 individu,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Seorang Maut, 2 Lagi Cedera Parah

Tambah Ahmad Mukhlis lagi, akibat daripada nahas yang berlaku, ia telah meragut satu nyawa dan menyebabkan dua orang individu mengalami kecederaan parah.

“Seorang mangsa yang maut dan dua lagi cedera parah masing-masing merupakan pemandu dan penumpang sebuah pacuan empat roda dan sebuah kereta manakala enam lagi mangsa lain mengalami kecederaan ringan,” jelasnya.

Katanya, pemandu bas serta 24 penumpang bas ekspres yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Seorang mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Dua mangsa cedera parah serta enam individu cedera ringan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]