Kehadiran pelakon dan penyanyi terkenal, Naim Daniel, di Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi ini menarik perhatian ramai apabila ia dikaitkan dengan siasatan melibatkan kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Naim Daniel Hadir Ke Mahkamah, Dikaitkan Dengan Kes Amang Seksual Remaja 17 Tahun

Naim, atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, dilihat tiba di pekarangan sekitar jam 8.35 pagi sambil mengenakan sut hitam dan ditemani ibunya, Nora Taherah.

Ketika ditanya oleh pihak media, selebriti berusia 28 tahun itu hanya memberikan respon ringkas.

“Assalamualaikum, saya okay insya-Allah,” katanya sebelum melangkah masuk ke bangunan mahkamah. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung kehadirannya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa Pejabat Pendakwa Raya telah mengeluarkan arahan untuk mendakwa seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan.

Menurut beliau, pertuduhan akan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang merujuk kepada perlakuan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan pengesahan rasmi identiti tertuduh, namun kehadiran Naim ke mahkamah hari ini mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen serta peminat industri hiburan tanah air.

Kredit: mStar

 

 

[fbcomments]