Seorang penghantar makanan dilaporkan maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan ketika memberi laluan kepada sebuah ambulans dalam kejadian di Jalan Padang Jambu pada pagi Rabu.
Meninggal Dunia Di Tempat Kejadian Akibat Cedera Parah
Menurut laporan Sinar Harian, difahamkan kejadian yang berlaku sekitar jam 9.50 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Hilmi Saleh, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah iaitu Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan bahawa, kemalangan tersebut berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah Proton Wira yang dipandu warga emas berusia 65 tahun dari arah Pengkalan Batu cuba memberikan laluan kepada ambulans.
“Kedua-dua kenderaan ini dari sebelah kanan jalan arah Pengkalan Batu ke Padang Jambu cuba melintas ke hadapan untuk memberi laluan kepada ambulans yang datang dari belakang mereka.
“Manakala dalam masa sama sebuah kereta jenis Honda Civic dari arah Ayer Keroh ke Bandaraya Melaka sedang bergerak lurus di lorong tengah dan tidak sempat mengelak dua kenderaan terbabit lalu merempuh mereka,” katanya.
Christopher Patit menambah, akibat kemalangan itu, penghantar makanan terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala pemandu Wira berusia 65 tahun dan pemandu Civic berusia 50 tahun masing-masing mengalami sakit di bahagian dada serta cedera di leher.
Beliau kemudiannya memaklumkan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga.
“Pihak polis sedang mengesan saksi kemalangan dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Kredit: Sinar Harian